NEW YORK – Sebuah tongkang binaan yang lama ditanam dengan sayur-sayuran, pokok apel dan herba harum memberikan peluang kepada penduduk New York yang menetap di pangsapuri untuk memetik dan memakannya.
Tongkang yang digelar dengan Swale ini mempunyai taman yang terapung, kerja seni dan projek anjuran komuniti, yang pada masa ini berlabuh di sungai Selatan Bronx dan akan bergerak ke Taman Sungai Hudson di bahagian bawah Manhattan dari 15 September hingga 15 November ini untuk kunjungan orang ramai.
Pengasas Mary Mattingly mencipta Swale dengan tujuan untuk memberi peluang kepada penduduk New York mencari makanan yang mana adalah menyalahi undang-undang di seluruh taman awam seluas 30,000 ekar. Peraturan ‘tidak boleh mencari makanan’ ini tidak mempunyai kaitan dengan Swale kerana ia adalah tongkang.
“Tidak semua orang mempunyai kemudahan kepada makanan yang sihat di New York, saya melihat Swale sebagai alat untuk menyokong kepada perubahan dasar,” kata Mattingly, seorang artis yang membahagikan masanya diantara Swale dan tempat tinggal musim panasnya yang terletak di Taman Monet di Giverny, Perancis.
Tuaian Swale boleh diambil secara percuma. Dariella Rodriguez, Pengarah Jangkauan untuk Kementerian Belia bagi Keamanan dan Keadilan, sebuah kumpulan komuniti yang memimpin lawatan Swale menyatakan ramai pelawat terkejut apabila mereka tidak dikenakan bayaran.

“Dengan segera mereka terus bertanya, ‘berapa harganya?’ mereka benar-benar terkejut setalah kami memberitahu ia adalah percuma,” kata Rodriguez.
Swale dilancarkan pada tahun 2016 dengan dibiayai oleh Kickstarter dan A Blade of Grass, pertubuhan yang tidak mengambil untung yang menyokong seni yang terlibat secara sosial.
Syarikat cider keras Strongbow memberikan sokongan tambahan pada tahun ini termasuk mendermakan ‘kebun buah’ iaitu lapan pokok apel.
“Ia selari dengan mesej kami sebab kami akan membawa keindahan alam semulajadi ke dalam bandar.” Kata Reggie Gustave, pengurus jenama Strongbow.
Tongkang yang berukuran 130 kaki (40 meter) ini sekarang berlabuh dalam sungai Bronx di Taman Loji Konkrit, yang mana silo konkrit yang dipindahkan itu mengenang kembali kawasan perindustrian kawasan tersebut.
Semasa lawatan minggu ini berlangsung buah epal tersebut belum lagi masak, namun terdapatnya beberapa herba untuk masakan dan perubatan. Bahan asas dapur seperti pudina, thyme, oregano bercampur dengan sassafras, balsam lebah, hyssop dan cikori.
Juga terdapat Jewelweed yang terkenal dengan sifatnya untuk menyembuhkan kulit dan lobak liar yang digunakan selama berabab-abad lamanya sebagai kontraseptif. Terdapatnya juga pokok renek chokeberry, tumbuhan asli yang mana tart berinya boleh dijadikan jem, serta beri hitam dan beri biru yang biasa didengar.
Akar sayur seperti ubi kentang dan Jerusalem articok hanya menunggu untuk digali. Apa yang kelihatan seperti bunga daisi ini sebenarnya adalah coneflower, juga dikenali sebagai Echinacea, ubat sejuk yang popular.
“Ia tumbuh liar di seluruh tempat,” kata Amanda McDonald Crowley, curator tumbuhan Swale.
“Apabila anda berjalan-jalan di sekitar Swale dan dapat mengenal pasti bunga echinacea, anda akan dapat melihatnya di seluruh bandar.
“Saya melihat rumpai di dalam bandar dan dapat mengecam mereka sebagai tumbuhan yang boleh dimakan atau digunakan untuk perubatan.”
Pencipta Swale memanggilnya hutan makanan yang terapung, bukan taman atau ladang, dan tidak ada barisan lobak yang rapi.
Susunan pokok, pokok renek dan tumbuhan yang meliputi tanah terlihat rawak namun ia adalah bertujuan untuk menggunakan tongkang yang berukuran 5,000 kaki persegi (465 meter persegi) itu dengan baik.
Tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat
“Awak menanam tumbuhan bersebalahan dengan yang lain yang sering melengkapi satu sama lain dalam cara mereka menggunakan tanah,” kata Crowley. Dia mengatakan sebagai contoh, terdapatnya banyak semanggi yang mana secara umumnya tidak termasuk dalam makanan untuk manusia namun ia adalah “pembetung nitrogen yang sangat baik”, bermaksud ia mengambil nitrogen yang ada di udara dan menyerapnya ke dalam tanah. Swale terbuka kepada orang awam dari hari Jumaat ke Ahad dari pukul 1 hingga 7 malam dan mengendalikan lawatan dari hari Isnin ke Rabu.
Sekumpulan pelatih musim panas Kickstarter membuat lawatan pada Selasa dan mendengar mengenai tumbuhan dan keperluan yang patut ada dalam menghasilkan sesuatu yang berkhasiat di “padang pasir makanan” seperti Selatan Bronx yang mana pasar rayanya sukar didapati.
Angela Huang, salah seorang pelatih mengatakan lawatan tersebut adalah “hebat”. Tumbuhan yang menjalar dengan daunnya yang sukulen menarik perhatian Huang. Dikenali dengan purslane, ia adalah sejenis rumpai biasa yang boleh dimakan mentah atau dimasak yang berjual di pasar pekebun.
“Ketika saya masih muda, saya dan keluarga sering berjalan-jalan. Ibu saya akan berjalan sekitar kejiranan dan mencari jenis tumbuhan yang khusus,” kata Huang. Dia menghantar gambar purslane kepada ibunya dan ibunya menjawab, “Saya membuat ladu dengannya minggu lepas.” – AP