Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makanan tradisional Bajau ubati kerinduan perantau

    PETALING JAYA – Sekali pandang, Restoran Seri Semporna yang terletak antara deretan kedai di Jalan PJS 8/12a, Sunway Mentari, Malaysia kelihatan seperti restoran lain yang menawarkan masakan panas dan hidangan makanan laut segar.

    Namun, sebaik sahaja pelanggan melangkah masuk ke dalam restoran dan meneliti menu, ada kelainannya kerana ia menawarkan makanan tradisional masyarakat Bajau asli Semporna, Sabah.

    Mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Semporna, daerah yang terletak di pantai timur Negeri di Bawah Bayu ini, pasti tidak dapat menafikan kelazatan pelbagai makanan laut serta keunikan masakan tradisional asli suku kaum Bajau, dan pasti merinduinya apabila kembali ke Semenanjung.

    Bagi mereka yang mengidam masakan suku kaum Bajau, awda tidak perlu lagi terbang ke Semporna untuk merasai keenakan hidangan asli tradisional itu kerana restoran berkenaan mampu memenuhi permintaan awda.

    Menurut pemilik Restoran Seri Semporna, Azreena Salleh, 35, kebanyakan bahan masakan di restorannya bukan sahaja diimport dari Semporna, malah hasil tangkapan laut segar juga diterbangkan khas dari sana bagi mengekalkan keaslian dan kesegaran, untuk dinikmati oleh pelanggan-pelanggannya.

    Bermacam jenis makanan tradisional masyarakat Bajau asli dari Semporna, Sabah terdapat di Restoran Seri Semporna yang terletak di Sunway Mentari. – Bernama
    Bakso Kulit Ayam juga turut disediakan di Restoran Seri Semporna. – Bernama
    Azreena Salleh menunjukkan makanan tradisional masyarakat Bajau asli dari Semporna, Sabah. – Bernama
    Sup Daging Hitam atau dikenali Tiyula Itum oleh orang Sabah juga turut disediakan di Restoran Seri Semporna. – Bernama

    KEHIDUPAN BERUBAH

    Segalanya bermula apabila Azreena, yang mesra dipanggil Azreen, membuat keputusan untuk meneruskan legasi ibu bapanya dengan membuka Restoran Seri Semporna lapan tahun lepas di Jinjang, Kepong namun terpaksa ditutup apabila pandemik COVID-19 melanda.

    “Ketika kami kecil, ibu bapa kami memang mengusahakan restoran di Kampung Air, Semporna sehinggalah kami terpaksa berpindah ke Semenanjung pada tahun 2000 akibat ibu menghidap kanser dan terpaksa menjalani rawatan di sini.

    “Sebagai ibu tunggal juga, saya terpaksa menjadi tunjang keluarga menjaga ketiga-tiga anak saya yang masih bersekolah ketika itu selepas ibu saya meninggal dunia pada tahun 2004 akibat kanser.

    “Bagi mengubati rindu terhadap masakan asli Bajau dan ibu bapa saya, saya mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan restoran dan mengembangkan minat saya terhadap masakan asli suku kaum Bajau,” kata anak kelima daripada lapan beradik.

    Bak kata pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?’, begitulah kedua-dua ibu bapa yang menurunkan minat terhadap masakan tradisional asli kepada Azreena sehing-
    galah dia mahu berkongsi masakan air tangannya kepada rakan-rakan di Semenanjung.

    MENU MASAKAN ASLI BAJAU

    Bagi mereka yang buat pertama kali berkunjung ke Restoran Seri Semporna, awda bukan sahaja akan menjadi keliru tetapi juga rambang mata akan kepelbagaian menu yang ditawarkan, daripada kudapan, manisan, masakan panas, sup, sehinggalah kepada makanan-makanan laut segar selain beberapa jenis kerabu khas masakan ala Sabah.

    Namun kebiasaannya, bagi pelanggan baharu, Azreena akan mengesyorkan beberapa menu makanan asli ‘paling laris’ yang terdapat di restorannya seperti kambing bakar, ikan bakar belawis atau ikan bakar Uji Rashid dengan sambal belacan, serta kerabu kerang.

    Azreena turut berkongsi antara menu pembuka selera bagi suku kaum Bajau iaitu latok, sejenis rumpai laut, yang rasanya sedikit masin dan rangup ketika dimakan, lagi sedap jika dimakan bersama sambal cicah.

    “Selain itu, kami turut akan memperkenalkan putu iaitu makanan berasaskan ubi kayu yang diparut dan kemudiannya airnya diperah dan dikukus atau stim sehingga masak,” katanya.

    PROMOSI MENERUSI TIKTOK

    Percubaan Azreen untuk memperkenalkan resipi serta makanan tradisional suku kaum Bajau menerusi ‘TikTok’ ketika musim pandemik pada tahun 2020 turut membuka peluang kepadanya untuk membuka kembali Restoran Seri Semporna setahun kemudian.

    Sedikit pun dia tidak menyangka bahawa sesi interaksinya dengan perantau Sabah yang tidak boleh pulang ke kampung halaman ketika musim pandemik turut menjadikan videonya tular dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

    “Tidak boleh dinafikan bahawa kuasa Tiktok juga turut menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum, terutamanya mereka yang pernah berkunjung ke Semporna untuk melancong ataupun mencuba selam skuba.

    “Apabila mereka melihat video saya tular, mereka datang ke restoran saya untuk mencuba makanan tradisional Bajau untuk melepaskan rindu dan ramai yang kata rasanya seakan-akan di Semporna,” katanya, menambah, dia berasa puas apabila menerima kunjungan pelanggan-pelanggan pelbagai kaum datang mencuba makanan di Restoran Seri Semporna dan memberi maklum balas yang memberangsangkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda