KOTA BHARU, 13 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus menggiatkan usaha secara berterusan bagi menggalakkan masyarakat memakan buah-buahan tempatan untuk mencapai sasaran pengambilan 100 kilogram (kg) buah-buahan setiap orang setahun.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Operasi) Datuk Sharifah Hashim berkata setakat ini jumlah pengambilan buah-buahan oleh rakyat Malaysia masih rendah iaitu sekitar 56 kg setahun bagi setiap orang berbanding negara luar yang sudah melebihi 100 kg.
“FAMA telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai tujuan tersebut termasuk menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Kementerian Kesihatan melalui kempen-kempen berhubung kepentingan pengambilan buah-buahan.
“FAMA juga menggunakan pendekatan lain seperti pendedahan kepada pelajar di peringkat sekolah rendah berhubung kepentingan pengambilan sumber yang berkhasiat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis menandatangani perjanjian jual beli tembikai wangi antara FAMA dan peserta Ladang Kontrak Projek Agrotourism Kampung Banggol di sini hari ini. Turut hadir Pengarah FAMA Kelantan Ibrahim Mahmood.

Majlis perjanjian itu melibatkan 29 peserta Ladang Kontrak Projek Agrotourism Kampung Banggol bagi menjamin pasaran semasa musim menuai yang bermula 6 April lepas.
“Melalui perjanjian ini, pasaran hasil tanaman peserta ladang akan diperluaskan dan terjamin selain mampu menjadi contoh kepada usahawan tani lain untuk terus berdaya saing dalam bidang pertanian,” kata Sharifah.
Katanya dengan termeterainya perjanjian itu, pihak FAMA akan memasarkan kira-kira 95 peratus hasil tanaman tembikai wangi berkenaan ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor Bharu selain Singapura.
Sejumlah 500 metrik tan tembikai wangi dijangka dituai di kawasan ladang seluas 24.3 hektar itu dengan jumlah pembelian sebanyak RM800,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Sharifah berkata pengeluaran buah tempatan di negara ini masih perlu dipertingkatkan bagi mengelak kebergantungan kepada buah-buahan import.
Sementara itu, peserta ladang, Mamat Dollah, 72, berkata beliau amat bersyukur kerana telah memperoleh cek berjumlah kira-kira RM44,000 pada hari ketiga hasil tanamannya dituai hari ini. – Bernama