Makluman gangguan bekalan air

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan orang ramai mengenai kemungkinan berlakunya gangguan bekalan air atau tekanan air rendah esok bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi.

Kenyataan menyatakan bahawa gangguan bekalan air atau tekanan air rendah berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja pemasangan tiga paip outlet berukuran 300mm dan penukaran injap outlet berukuran 450mm di tangki Kilanas yang akan dilaksanakan pada hari berkenaan.

Sehubungan itu, beberapa kawasan yang berkemungkinan akan terjejas ialah Kampung Bunut, Kampung Madewa, Kampung Bengkurong, kawasan Ban Mulaut, Kampung Mulaut dan sekitarnya, sebahagian kawasan Kampung Tanjong Bunut, Kampung Dadap, sebahagian Kampung Sengkurong, Kampung Pasai, Kampung Tanjong Nangka dan kawasan sekitarnya.

JKR memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan berhubung dengan bekalan air atau pembekalan air bersih melalui lori air yang mana perkhidmatan adalah terhad.