Makluman gangguan bekalan air di Mukim Lumapas

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kepada penduduk Mukim Lumapas dan sekitarnya mengenai gangguan bekalan air yang sedang dialami pada masa ini.

Dalam kenyataan itu, JKR memaklumkan bahawa paras air tangki Kiarong buat sementara ini tidak stabil kerana penghasilan air bersih Loji Rawatan Air Bukit Barun berkurangan untuk menangani masalah kualiti air mentah sungai yang kini sukar dirawat.

Walau bagaimanapun, jabatan berkenaan sedang berusaha menjalankan beberapa operasi tertentu agar pembekalan air kembali seperti biasa secepat mungkin.

Pada masa yang sama, tambah kenyataan, pihak jabatan telah menyediakan tangki-tangki biru di kawasan terjejas di Kampung Lumapas iaitu di Simpang 665-15 Jalan Mambarong; No 71 Jalan Kecil Pawas; No 850 rumah pemangku ketua Kampung Lumapas B; Pejabat Pos Lumapas; Simpang 46-12 STKRJ Kampung Lumapas dan di Masjid Kampung Kasat.

Sehubungan itu, JKR menasihatkan orang ramai supaya memasak air sebelum digunakan untuk masakan atau minuman sebagai langkah berjaga-jaga tambahan dan memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.