Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makluman mengenai perkhidmatan pergigian

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa berikutan dengan penularan situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perkhidmatan Pergigian memaklumkan penutupan dan pemindahan sementara serta perubahan beberapa lokasi klinik pergigian.

    Kenyataan menjelaskan bahawa klinik pergigian di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong bertukar ke klinik pergigian di Pusat Kesihatan Lamunin bermula 11 Mac, Klinik Pergigian Poliklinik di Seria bertukar ke klinik pergigian di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bermula 12 Mac.

    Klinik pergigian di Klinik Kesihatan Labi bertukar ke klinik pergigian di Pusat Kesihatan Sungai Liang bermula 12 Mac, klinik pergigian di Pusat Kesihatan Berakas bertukar ke klinik pergigian di Pusat Pergigian Negara bermula 16 Mac dan klinik pergigian di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu bertukar ke klinik pergigian di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPHRSB), Sungai Asam bermula 16 Mac.

    Hari beroperasi bagi klinik pergigian berkenaan ialah Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari-hari kelepasan awam bermula dari pukul 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan dari pukul 1:30 petang hingga 4:30 petang.

    Dalam pada itu, kenyataan menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha dalam mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan untuk melindungi kakitangan kesihatan dan pesakit-pesakit yang berkunjung dan menerima rawatan perkhidmatan pergigian, Jabatan Perkhidmatan Pergigian memaklumkan bahawa semua rawatan pergigian rutin (bukan kecemasan) dan perjanjian ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian, di seluruh lokasi perkhidmatan secara keseluruhannya.

    Dimaklumkan bahawa pada masa ini juga, hanya rawatan-rawatan pergigian kecemasan yang tidak melibatkan aerosol sahaja yang dikendalikan dan ini tertakluk kepada saringan pemeriksaan di kaunter-kaunter yang disediakan di lokasi-lokasi berkenaan.

    Jabatan Perkhidmatan Pergigian ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi daripada perkara itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda