Makluman penutupan jalan atas kerja-kerja pembaikan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JKR

BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 13 DIS – Separuh Jalan Lubok Jelutong, Kuala Belait akan ditutup sementara bermula 8 pagi 15 Disember ini bagi tempoh seminggu.

Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengatakan penutupan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan paip pembetung yang pecah di jalan raya itu dapat dilaksanakan.

Sementara itu, pihak JKR turut ingin memaklumkan orang ramai mengenai penutupan sementara jalan susur masuk ke Jabatan Perkhidmatan Farmaseutikal, Lebuhraya Rimba pada 14 hingga 21 Disember bermula 8 pagi hingga 5:30 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKR, di sini, hari ini, penutupan sementara jalan susur masuk berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah di jalan berkenaan dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, JKR mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Bagi sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 / Livechat Talian Darussalam 123 (+673 8333123) ataupun e-mel: pro@pwd.gov.bn.

Gambar menunjukkan penutupan separuh jalan di Lubok Jelutong, Kuala Belait.
Gambar menunjukkan penutupan sementara jalan susur atas sebab kerja-kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah.