Makluman penutupan jalan mulai hari ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna lebuh raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di Lebuhraya Muara-Tutong KM 48.3 berdepan Stesen Jana Kuasa Bukit Panggal (hala Muara) bermula esok sehingga 26 November depan.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa penutupan jalan di lebuh raya berkenaan adalah diperlukan bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan saluran paip di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, JKR mengingatkan para pengguna lebuh raya supaya akan mengambil langkah untuk lebih berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Live Chat 8333123 ataupun e-mel pro@pwd.gov.bn.jalan raya.

Peta menunjukkan lokasi penutupan separuh jalan yang bermula hari ini hingga 26 November depan bagi kerja- kerja pemasangan saluran paip. – Gambar serahan JKR