Oleh Salawati Haji Yahya
KUALA BELAIT, 20 FEB – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutama penduduk di Mukim Labi mengenai penutupan sementara Jambatan Sungai Rampayoh, Jalan Labi, Daerah Belait mulai hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Jabatan berkenaan turut memaklumkan mengenai gangguan bekalan air atau tekanan air rendah yang berlaku hari ini di sebahagian kawasan Kampung Rampayoh, Kampung Mendaram Kecil dan Kampung Teraja serta kawasan sekitarnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JKR menjelaskan bahawa penutupan sementara jambatan berkenaan adalah disebabkan kejadian jalan susur yang seterusnya mengakibatkan paip air terputus di Jambatan Sungai Rampayoh.
Kerja-kerja kecemasan penyambungan paip air berukuran 150mm dan 250mm telah siap dilaksanakan sekitar pukul 5 petang dan bekalan air akan kembali pulih tapi ia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.