Makluman penutupan sebahagian jalan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutama para pengguna jalan raya mengenai penutupan separuh jalan (kedua-dua jalan jika perlu) satu hala di sepanjang Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula dari lampu isyarat Telanai iaitu simpang 444 sehingga Jambatan Edinburgh.

JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa penutupan berkenaan yang mula dilaksanakan hari ini selama satu bulan, dari pukul 9 malam hingga 4 pagi (tertakluk keadaan cuaca), adalah untuk memberi laluan bagi kerja-kerja pemotongan dan pencantasan pokok di sepanjang jalan berkenaan.

Sehubungan itu, JKR mengingatkan kepada para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan berkenaan di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi menggelakkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel, pro@pwd.gov.bn.