Makluman penutupan sebahagian Jalan RIPAS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya, di sini, memaklumkan mengenai penutupan sementara sebahagian jalan di Jambatan Edinburgh, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menghala ke pusat bandar berdekatan lampu isyarat dengan Balai Bomba Bandar Seri Begawan bermula 15 Ogos.

Kenyataan menjelaskan penutupan jalan dari pukul 8 pagi hingga 10 malam berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan paip pembetung bawah tanah di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, pihak jabatan menasihatkan para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel [email protected]

Gambar menunjukkan jalan yang ditutup sementara bagi kerja-kerja pembaikan paip pembetung bawah tanah. – Gambar serahan JKR