Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di lorong kanan Lebuh raya Muara-Tutong kawasan Tanah Jambu / Tanjung Kajar, hala Muara dan hala Tutong pada 19 Ogos bermula pukul 10 malam bagi tempoh selama satu bulan.
JKR menyatakan bahawa penutupan sementara separuh jalan itu adalah bagi memberi ruang kerja-kerja piling untuk pembinaan jejambat di persimpangan lebuh raya Muara-Tutong / penempatan tapak industri Tanjung Kajar untuk dilaksanakan.
Dalam hubungan itu, Jabatan Kerja Raya menasihatkan kepada para pengguna jalan raya berkenaan untuk memperlahankan kenderaan dan sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.