Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Beberapa buah stesen minyak di tiga daerah dijadualkan ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan untuk pam minyak bagi September 2023.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyatakan akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak berkenaan.
Menurut SDT, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi hingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar 2 jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.
Sehubungan itu, stesen-stesen yang terlibat di Daerah Brunei dan Muara pada 9 September adalah Stesen Minyak Mar’azmala, 11 September di Stesen Minyak Berakas dan 13 September di Stesen Minyak Tumasek.
Manakala itu, bagi Daerah Belait, pada 14 September di Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Perniagaan Melayu Sdn Bhd, bagi Daerah Tutong pada 14 September di Stesen Minyak Batang Duri serta bagi Daerah Tutong pada 20 September di Stesen Minyak Kampung Keriam (PAKATAN Tutong).
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel, sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.
