Maklumat tepat bantu proses kesan kontak rapat

KUCHING, 4 OGOS – Rakyat Sarawak digesa memberikan maklumat yang tepat ketika mengisi maklumat di premis yang dikunjungi bagi memudahkan usaha mengenal pasti kontak rapat dengan cepat sekiranya ada kes positif COVID-19 dikesan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jika maklumat yang diberikan salah, ia akan menyukarkan lagi kerja pengesanan kontak rapat, sekali gus menyukarkan usaha kerajaan dalam memutuskan rangkaian COVID-19.

“Kita sedia maklum bahawa kluster kes aktif di negeri ini sudah mencapai 10 kluster, justeru kita tidak mahu kluster aktif ini bertambah,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pada sidang media harian JPBN di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong yang turut hadir dalam sidang media itu berkata pihak polis di negeri ini masih menunggu keputusan terbaru dari Bukit Aman berhubung penguatkuasaan hukuman denda RM1,000 terhadap orang awam yang tidak memakai penutup mulut dan hidung.

Sarawak hari ini tidak merekodkan sebarang kes positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kekal 678 kes. – Bernama