Maklumat terkini di media sosial jabatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Cadangan daripada orang ramai bagi soalan-soalan lazim yang berkaitan dengan COVID-19 bagi kesemua kementerian-kementerian dapat dikumpulkan dalam satu laman sesawang utama supaya memudahkan orang ramai merujuk maklumat yang relevan, amat dialu-alukan dan mendapat sokongan serta disambut dengan baik oleh pihak kerajaan.

Ke arah itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, menerangkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menyediakan maklumat mengenai soalan-soalan yang sering diketengahkan semasa sidang media harian di laman media sosial, Instagram, jabatan berkenaan.

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa orang ramai boleh merujuk kepada laman Instagram jabatan itu bagi mendapatkan maklumat.

Beliau seterusnya berkata dalam perkara itu, ia masih boleh dipertingkatkan dengan adanya template yang bukan sahaja merujuk kepada soalan tetapi kepada perkara khusus atau subject matter.

Beliau memberikan contoh seperti di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dalam siaran khabar pada 12 Ogos telah menyenaraikan perkhidmatan yang ditutup dan bagaimana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan berkenaan melalui laman sesawang atau telefon.

Beliau menjelaskan bahawa dari semasa ke semasa terdapat perubahan dan pada 29 September yang lalu, bagi perkhidmatan pembatalan pas kerja yang sebelum ini boleh dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei atau di pos-pos kawalan, bermula 29 September, perkhidmatan itu boleh dibuat terus Ibu Pejabat di Bandar Seri Begawan dan juga di Kuala Belait dengan syarat ia hendaklah dihadapkan empat hari sebelum pekerja itu berlepas.

Oleh itu, pengemaskinian begitu, ulas Yang Berhormat Pehin, turut dimuatkan di laman media sosial Jabatan Perdana Menteri tetapi beliau berharap pengagihan atau pemberigaan maklumat seumpama itu akan dapat dipertingkatkan lagi.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menjawab persoalan ketika sidang media tersebut, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan