Maklumkan guru jika tidak dapat hadir vaksinasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Pelajar-pelajar yang tidak dapat hadir untuk mendapatkan vaksin mengikut jadual yang ditetapkan disebabkan masalah-masalah tertentu, mereka harus memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah agar jadual mereka dapat disusun semula untuk menghadiri program vaksinasi tersebut.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menerangkan perkara itu semasa menjawab persoalan bagi pelajar-pelajar yang tidak dapat hadir bagi mendapatkan vaksinasi mereka disebabkan oleh masalah tertentu.

Yang Berhormat Dato semasa sidang media, hari ini, turut menyeru ibu bapa agar seboleh-bolehnya mengikuti jadual vaksinasi yang telah diaturkan dengan harapan program itu akan dapat berjalan dengan lancar bagi sama-sama melindungi Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, mengulas mengenai pelajar-pelajar yang tidak dapat diberikan suntikan vaksin disebabkan oleh masalah tertentu seperti alahan atau penyakit kronik, Yang Berhormat Dato menjelaskan pelajar-pelajar berkenaan perlu untuk diperiksa oleh doktor di mana pihak doktor akan memberikan cadangan jika mereka dapat untuk diberikan vaksin atau sebaliknya.

Beliau menekankan adalah amat penting bagi pelajar dan ibu bapa pelajar berkenaan memberitahu pegawai kesihatan mengenai masalah mereka supaya akan dapat mendapatkan nasihat jika boleh atau tidak menerima suntikan vaksin.

Manakala itu, menerangkan mengenai dengan borang kebenaran yang diberikan kepada pihak ibu bapa, beliau menerangkan borang kebenaran itu telah diagih-agihkan kepada ibu bapa sebagai persiapan awal dan telah mendapatkan maklum balas menggalakkan daripada ibu bapa terhadap program vaksinasi itu serta menyatakan penghargaan kepada mereka atas sokongan diberikan kepada program vaksinasi itu.

Borang kebenaran itu juga dapat menolong pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dalam merancang bagaimana dapat mengurus para pelajar semasa berada di pusat-pusat vaksinasi berkenaan, ujarnya.