Makmal AirLab dikawal rapi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Makmal Brunei COVID-19 AirLab merupakan makma bio keselamatan Tahap 2 yang menggunakan kaedah pengawalan udara di mana setiap tiub mengikut piawaian antarabangsa seperti yang terdapat di Makmal Virologi Tambahan di Jalan Sumbiling.

Ia dikawal dengan cukup ketat di mana orang ramai sama sekali ditegah memasukinya dan mereka yang diberi kebenaran adalah dipastikan untuk menggunakan sut pakaian PPE lengkap.

Di samping itu, segala swab untuk dianalisa di sana akan dipastikan virus yang terdapat padanya dibunuh terlebih dahulu sebelum menganalisanya.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenai persoalan keselamatan Makmal Brunei COVID-19 AirLab semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Meskipun ia dikawal rapi dengan ketat, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, turut menjelaskan makmal tersebut turut dipasangkan control hood bagi mengelakkan sebarang kebocoran.

Di samping itu di makmal tersebut dikawal dengan ketat dengan sentiasa memastikan jaminan kualiti, memeriksa segala kelengkapan pada mesin yang digunakan mengikut piawaian yang sepatutnya, tambah beliau.