Makmal AirLab mampu laksana 10,000 ujian COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Penubuhan makmal virologi tambahan, Brunei COVID-19 AirLab bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan atau kapasiti melaksanakan ujian SARS-CoV-2 negara di mana dengan kedua-dua makmal iaitu Brunei COVID-19 AirLab dan Makmal Virologi Tambahan di Jalan Sumbiling beroperasi penuh, ia berupaya untuk melaksanakan di antara 8,000 hingga 10,000 ujian SARS-CoV-2 dalam masa 24 jam.

Sebagai usaha untuk meninjau keupayaan pelaksanaan ujian di makmal tambahan berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah mengadakan lawatan tinjauan ke Brunei COVID-19 Airlab, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

Penubuhan Makmal Brunei COVID-19 AirLab adalah untuk meningkatkan kapasiti ujian makmal SARS-CoV-2 di mana perolehannya adalah atas kerjasama antara pihak kerajaan dan Beijing Genomic Institute (BGI).

Makmal itu adalah sejenis makmal mudah alih yang mempunyai keselamatan bio peringkat 2 di mana pada masa ini, ia ditempatkan di BRIDEX Jerudong.

Makmal berkenaan dapat menampung sehingga 5,000 ujian dalam sehari.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai semasa mengadakan lawatan tinjauan ke Brunei COVID-19 Airlab, BRIDEX, Jerudong, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani