HONG KONG, 4 MAC – Hong Kong mempergiatkan kapasiti ujian COVID dengan bantuan makmal mudah alih, ketika bandar itu bergelut dengan puluhan ribu kes harian baharu COVID.
Makmal itu tiba dari tanah besar China menjelang perancangan ujian besar-besaran ke atas tujuh juta penduduknya pada penghujung bulan ini. Ia adalah sebahagian daripada strategi sifar COVID yang dikuatkuasakan oleh China, dan tindakan yang didesak oleh Beijing ke atas Hong Kong, yang bergelut untuk membendung penularan yang dipacu oleh varian Omicron.
Beberapa buah makmal bergerak telah didirikan di seluruh bandar dan kelengkapannya mampu menampung puluhan ribu sampel ujian dalam masa sehari.
Makmal itu didirikan di tanah besar China dan menutup keseluruhan sempadanya serta beberapa buah bandar raya untuk membuat ujian besar-besaran apabila kes dikesan. Di Hong Kong, rancangannya adalah untuk membuat ujian ke atas setiap penduduk sebanyak tiga kali. Pihak berkuasa berkata mereka mungkin mengehadkan pergerakan mereka untuk mengurangkan risiko penularan.
Setiap orang yang disahkan positif mesti dimasukkan ke hospital atau kemudahan pengasingan diri, tertakluk kepada gejala yang dialami.
Gelombang jangkitan ketika ini adalah yang terburuk setakat ini, di mana hospital terbeban, mengakibatkan pesakit terpaksa ditempatkan di luar pintu masuk hospital dan terpaksa diletakkan di kawasan menunggu. Pihak berkuasa bergegas membangunkan kemudahan pengasingan diri sementara.
Menurut Our World in Data, setakat 2 Mac, Hong Kong melaporkan secara purata hampir 15 kematian per sejuta orang dalam tempoh seminggu – kadar yang tertinggi di dunia. – AP