Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Makmal tingkat keupayaan tangani wabak COVID-19

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Keupayaan melaksanakan ujian makmal bagi COVID-19 untuk mengesan serta mengawal penularan jangkitan berkenaan kini dapat dipertingkatkan dengan perasmian Bangunan Tambahan Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan di Kampung Sumbiling, Bandar Seri Begawan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pembinaan Bangunan Tambahan Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk siap.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Kunci dan Perasmian Bangunan Tambahan Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan telah berlangsung, hari ini.

    Pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menerima kunci bangunan yang diserahkan oleh Pengarah LSL Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi.

    Seterusnya, Yang Berhormat Dato menyerahkan kunci bangunan kepada Pemangku Pengarah Perkhidmatan Makmal, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menerima replikasi kunci makmal daripada Pengarah LSL Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Ahmad semasa majlis perasmian tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara kemudahan yang dilengkapi dalam makmal berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Yang Berhormat Dato turut mengadakan lawatan dan meninjau dengan lebih dekat lagi fungsi makmal berkenaan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Makmal.

    Ketua Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan, Dr Zainun Zaini dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menerangkan bahawa tujuh orang petugas akan ditempatkan di bangunan berkenaan dalam satu masa di mana mereka akan ditugaskan secara bergilir-gilir.

    Para petugas juga akan menjalankan latihan bermula 31 Mac di mana seramai 26 orang kakitangan akan dilatih serta keupayaan melaksanakan ujian di makmal berkenaan akan dapat dikaji hasil daripada latihan yang bakal dijalankan berkenaan.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pada masa ini, sebanyak 240 sampel dapat diuji sehari dan jumlah berkenaan dijangka akan meningkat dengan pelaksanaan ujian di bangunan tambahan makmal berkenan serta latihan yang dikendalikan bagi para kakitangan.

    Dr Zainun turut menjelaskan bahawa makmal berkenaan bukan sahaja digunakan bagi ujian COVID-19 tetapi juga bagi ujian virus lain termasuk Influenza.

    Bangunan tambahan itu, akan berfungsi sebagai Unit Molekular Diagnostik bagi jangkitan virus respiratori dan akan dikhususkan bagi ujian penganalisisan COVID-19.

    Unit itu mempunyai empat buah bilik makmal iaitu makmal penerimaan contoh, makmal memproses contoh, makmal penyediaan reagent dan makmal amplification.

    Dengan adanya bangunan berkenaan, kesemua ujian molekular COVID-19 akan dipindahkan ke makmal baharu tersebut bagi membolehkan peningkatan kapasiti ujian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda