‘Makmal virologi bukan punca wabak’

BEIJING, 19 APRIL – Pengarah Makmal Keselamatan Maksimum di Wuhan, China menolak dakwaan bandar Wuhan menjadi punca penularan wabak itu dengan menegaskan perkara itu sebagai mustahil.

Beijing ketika ini berada dalam tekanan apabila dikaitkan tidak telus dalam menguruskan wabak berkenaan, ditambah pula dengan kenyataan Amerika Syarikat (AS) yang sedang menyiasat, sama ada virus berkenaan berpunca daripada institut virologi dengan tahap keselamatan makmal tinggi.

Sebelum ini, kumpulan saintis di China berkata, virus berkenaan dikatakan tersebar daripada haiwan kepada manusia melalui pasar yang menjual hidupan liar.

Bagaimanapun, teori konspirasi yang mengaitkan Wuhan dengan sumber virus itu tersebar didorong oleh wujudnya kemudahan dan makmal yang berupaya menguruskan virus berbahaya di Institut Virologi Wuhan.

Pengarah makmal berkenaan, Yuan Zhiming, dalam satu wawancara bersama media China semalam, berkata “tidak mungkin virus berkenaan datang daripada kami.”

Menurutnya, tidak ada seorang dalam kalangan kakitangannya yang dijangkiti wabak berkenaan dan turut memberitahu “semua penyelidik institut ini sedang menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan koronavirus.”

Dalam perkembangan lain, laporan di Washington Post dan Fox News yang kedua-duanya merakamkan sumber yang tidak didedahkan memberitahu, virus berkenaan mungkin ‘terlepas’ secara tanpa sengaja daripada makmal virologi berkenaan.

Yuan bagaimanapun berkata, dakwaan itu hanya berbentuk spekulasi, tanpa bukti mahupun fakta. – AFP

Pemandangan udara menunjukkan makmal P4 di Institut Virologi Wuhan di wilayah Hubei tengah China pada 17 April.