Makmurkan masjid dengan tazkirah

BELAIT, 12 JULAI – Dalam usaha untuk memakmurkan masjid, pelbagai masjid di negara ini mengadakan tazkirah sebagai salah satu programnya.

Di Daerah Belait, antara masjid yang mengadakan program seumpamanya adalah Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dengan tazkirah bertajuk ‘Kesempurnaan dan Khusyuk dalam Sembahyang’. Tazkirah telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Muhammad Jamalul Alam, Haji Akup bin Haji Lamat yang antara lain menyatakan bahawa seorang hamba yang solat, rasa khusyuk akan tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat.

“Jadinya ketika solat, seseorang hamba itu akan berhubung secara langsung dengan Allah. Sepanjang mendirikan solat, seseorang hamba berdoa terus dihadapan-Nya.

Dengan adanya hubungan dengan Allah ini akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di dalam hati yang kemudian membentuk hati itu sentiasa akur, taat dan patuh kepada Allah,” ujarnya.

Sementara itu, di Masjid Pekan Seria, tazkirah mengenai ‘Penyakit Hati – ujub, riak’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof.

Antara jemaah yang hadir mendengarkan tazkirah di salah sebuah masjid di Daerah Belait. – Gambar oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid

Beliau antara lain menekankan bahawa untuk menjadi seorang mukmin yang sejati, hendaklah menghindari penyakit hati. Penyakit hati yang dimaksudkan itu ialah takabbur, ujub dan riak.

Takabbur bermaksud membesarkan diri dan merasakan dirinya yang paling sempurna, ujub pula bermaksud merasa diri yang paling hebat di atas kelebihan yang dimiliki. Manakala itu, riak pula menunjuk-nunjuk atau memperlihatkan amalan kepada orang lain untuk mendapatkan pujian dan sanjungan.

Menurut beliau, ketiga-tiga penyakit hati ini hendaklah dihindari kerana ianya boleh menghapuskan amalan dan menjadikan seseorang itu lupa dengan kebesaran yang dimiliki oleh Allah SWT

Dalam pada itu, di Masjid Kampung Labi, tazkirah mengenai ‘Silaturahim’ telah disampaikan oleh Haji Nazely bin Mohd Noor yang menyatakan bahawa silaturahim adalah kunci terbukanya rahmat dan pertolongan Allah SWT.

Dengan terhubungnya silaturahim, tambah beliau, maka ukhuwah Islamiah akan terjalin dengan baik.

“Bagaimanapun besarnya umat Islam secara kuantiti, sama sekali tidak ada ertinya bila di dalamnya tidak ada persatuan dan kerjasama untuk taat kepada Allah SWT.”

Selain untuk memakmurkan masjid dan mengembangkan syiar Islam, program berkenaan juga bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan para jemaah sekali gus dapat mengeratkan silaturahim.