Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maksud menutup aurat yang betul menurut syara’: Panduan bagi perempuan bersembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    MENUTUP AURAT ADALAH SYARAT SAH SEMBAHYANG

    Menutup aurat dalam sembahyang hukumnya wajib, bahkan di luar sembahyang pun ia adalah wajib. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna setiap kali mengerjakan sembahyang (dan tawaf).
    (Surah al-A‘raf :31)

    Maksud “pakailah pakaian kamu yang baik lagi sempurna” dalam ayat di atas ialah pakaian yang sempurna menutup aurat sama ada bagi lelaki mahupun perempuan.

    Turunnya ayat tersebut adalah untuk menegah umat Islam dari melakukan adat kebiasaan orang-orang Jahiliah Arab yang mengelilingi Ka‘bah dengan menanggalkan kesemua pakaian mereka. Ayat tersebut merupakan perintah untuk menutup aurat dan berpakaian baik serta sempurna dalam sembahyang.

    Menutup aurat merupakan salah satu syarat sah sembahyang. Berkata Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari Rahimahullah dalam Syarh arRaudh bahawa syarat sah sembahyang ialah menutup aurat dari pandangan orang.

    Disebutkan lagi bahawa aurat itu wajib ditutup sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang, sekalipun bersendirian. Imam an-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa apabila aurat seseorang yang sembahyang itu didedahkannya dengan senghaja, sama ada sedikit atau banyak, maka sembahyangnya batal yakni tidak sah. Untuk jelasnya, jika dia senghaja tidak menutup aurat, padahal dia mampu berbuat demikian, maka batal sembahyangnya.

    Gambar Canva

    AURAT PEREMPUAN DALAM SEMBAHYANG

    Dalam mazhab Syafi‘e, aurat perempuan dengan lelaki ajnabi (lelaki yang bukan mahramnya) adalah keseluruhan tubuh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

    Keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan ini juga adalah aurat yang wajib ditutupnya di dalam sembahyang.

    Apa yang dimaksudkan dengan muka itu ialah kawasan mula tempat tumbuh rambut di kepala sehingga bahagian akhir dagu (dua tulang rahang sepanjang tempat tumbuh gigi bawah) dan kawasan muka di antara dua anak telinga. Ini disebut dalam maksud had muka ketika mengambil wudhu.

    Manakala yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan pula ialah keseluruhan tapak tangan bahagian luar dan dalamnya dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.

    Adapun batas aurat kanak-kanak perempuan dalam sembahyang sama ada dia mumayyiz mahupun belum adalah sama dengan aurat perempuan dewasa sebagaimana di atas, iaitu keseluruhan badan kecuali muka dan dua tapak tangan.

    Muka dan dua tapak tangan bukanlah aurat. Makruh hukumnya bagi perempuan yang hendak sembahyang memakai niqab (tutup muka) iaitu kain atau yang seumpamanya yang digunakan untuk menutup muka, kerana muka tidak termasuk anggota aurat.

    Larangan menutup muka ini hanyalah sebagai karahah tanzih (perkara yang dituntut oleh syara‘ meninggalkannya akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib).

    Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka dia tidak berdosa dan tidak pula membatalkan sembahyangnya, hanya perbuatan itu dikira sebagai khilaf al-awla (menyalahi yang utama).

    PAKAIAN PEREMPUAN KETIKA SEMBAHYANG

    Disyaratkan pakaian yang digunakan untuk menutup aurat sama ada dalam sembahyang mahupun luar sembahyang itu dapat melindungi atau menutupi warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa.

    Dengan perkataan lain, pakaian yang dipakai seorang perempuan itu tidak boleh bersifat nipis atau jarang yang menampakkan warna dan bentuk auratnya.

    Sekiranya auratnya itu tidak sempurna ditutup, maka sembahyangnya tentu sahaja batal dan tidak diterima kerana tuntutan menutup aurat itu tidak terlaksana.

    Sebahagian ulama fiqh dalam menjelaskan maksud menutup aurat itu turut menggariskan kaedah betul menutup aurat.

    Imam asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhadzzab menyatakan bahawa disunatkan bagi seorang perempuan bersembahyang dengan memakai tiga pakaian yang terdiri daripada (1) penutup yang menutup kepala dan leher, (2) baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, dan (3) kain yang menyelimuti baju.

    Disunatkan kain atau baju sebelah luar sekali itu tebal, agar tidak membayangkan anggota-anggota tubuhnya.

    Juga disunatkan pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia ruku‘ atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya di sebelah dalam.

    Pakaian yang berwarna atau dicelup dengan warna tapi kelihatan jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-satir (penutup). As-Sayyid al-Bakri Rahimahullah menyebutkan bahawa sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ianya jarang dan nipis adalah juga tidak memenuhi syarat as-satir.

    Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka dapat diambil kesimpulan bahawa kritera-kriteria pakaian itu adalah seperti berikut:

    PAKAIAN YANG TIDAK MEMENUHI KEHENDAK SYARA‘ ITU ANTARANYA:

    i. Pakaian yang jarang atau nipis

    Maksud pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila dipakainya. Untuk jelasnya adalah tidak memenuhi maksud as-satir dalam perkara menutup aurat itu bentuk pakaian sebagaimana berikut:

    Memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan aurat tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, atau Memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya, namun warna kulit tetap saja kelihatan.

    Pakaian nipis dan jarang tidak memenuhi syarat as-satir kerana tidak mencapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit.

    ii. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang

    Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat as-satir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.

    PAKAIAN PEREMPUAN KETIKA BERSEMBAHYANG, ANTARANYA:

    i. Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, betis, tapak kaki melainkan muka dan kedua tapak tangan (belakang dan hadapan) sehingga pergelangan tangan.

    ii. Hendaklah pakaian itu tebal dan tidak mempunyai celah-celah sulaman yang boleh menampakkan kulit.

    iii. Hendaklah pakaian perempuan itu luas dan lebar, tidak sempit dan tidak ketat yang boleh menampakkan susuk badannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda