Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maktab Duli anjur Hari Shakespeare

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Hasil karya penulis terkenal William Shakespeare diketengahkan dan dipersembahkan semasa Hari Shakespeare yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Ketua CfBT Brunei, Dominic Morley. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim; Ketua Jawatankuasa Hari Shakespeare, Alwin Chong Jai Shiang; timbalan-timbalan pengetua, guru-guru, pensyarah dan para pelajar dari sekolah-sekolah yang menyertai acara berkenaan.

    Morley dalam ucapannya di majlis berkenaan berkongsi mengenai kejayaan dan sejarah pencapaian William Shakespeare sebagai seorang karyawan seni yang berjaya menghasilkan karya-karya yang diminati sehingga ke hari ini.

    Beliau juga menyatakan bahawa hasil karyanya juga boleh dijadikan panduan dan pengajaran yang berguna kepada para pelajar.

    Di majlis berkenaan, Morley turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang peraduan khas yang diadakan bersempena dengan Hari Shakespeare yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan, Maktab Duli.

    Majlis diserikan lagi dengan pementasan istimewa oleh pelajar-pelajar Maktab Duli dan seterusnya Morley menyempurnakan perasmian Pameran Hari Shakespeare dan berpeluang menyaksikan pameran dengan lebih dekat.

    Acara dihadiri oleh lebih 250 orang pelajar dari lapan buah sekolah menengah dan pusat tingkatan enam seluruh negara.

    Matlamat majlis dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya dan relevan pengajian kesusasteraan Inggeris dan memberikan bantuan praktikal kepada para pelajar dalam mempersiapkan para pelajar bagi peperiksaan kesusasteraan khususnya bagi karya-karya hasil William Shakespeare yang termasuk dalam sukatan Kesusasteraan Inggeris di ‘O’ Level, ‘AS’ Level dan ‘A’ Level.

    Menerusi acara berkenaan, para pelajar berpeluang berkongsi idea dan mempelajari mengenai pelbagai pendekatan kepada pengajian hasil karya Shakespeare menerusi pelbagai aktiviti dan bengkel yang dikendalikan oleh guru-guru dalam sekolah-sekolah yang menyertai acara berkenaan.

    Morley, Hajah Monaliza dan Alwin Chong bergambar ramai di petak pameran fotografi yang diadakan semasa Pameran Hari Shakespeare di Auditorium Maktab Duli, kelmarin.
    Morley ketika memotong reben bagi merasmikan Pameran Hari Shakespeare di Auditorium Maktab Duli Pengiran Muda.
    Morley ketika diberikan penerangan mengenai pameran-pameran yang diadakan semasa acara itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda