Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Malam Munajat khas untuk wanita

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi minggu ke-87 kali ini telah dikhaskan untuk wanita yang berlangsung secara dalam talian, malam tadi.

    Seperti lazimnya, program tersebut turut diserikan dengan tazkirah yang bertajuk ‘Dahsyatnya Doa di Tengah Malam’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama (i-Ready) Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiah Mualaf), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Siti Amal Zakiah binti Haji Mohd Yusof.

    Antara yang disentuh dalam tazkirah tersebut adalah mengenai golongan yang mengerjakan qiamullail secara istiqamah, yang bangun tidur untuk melaksanakan solat sunat pada waktu malam akan termasuk dalam golongan yang akan memasuki syurga tanpa hisab dan akan menikmati kenikmatan yang abadi dan kekal selamanya.

    Turut hadir pada acara tersebut adalah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi dan isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.

    Malam Munajat kali ini juga menyaksikan kehadiran tetamu khas, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin yang sekali gus memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah dari Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Jabatan Perdana Menteri.

    Datin Hajah Nahriah dan Datin Hajah Norazimah semasa menyertai Program Malam Munajat khas untuk wanita. – Gambar serahan KHEU

    Para Muslimah dari pelbagai masjid di seluruh negara turut menyertai acara tersebut, termasuk jemaah Muslimah dari Masjid Ash-Shaliheen, Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak, Masjid Kampung Penanjong dan ahli-ahli Persatuan Pertiwi Daerah Tutong.

    Turut hadir ialah tenaga akademik Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan warga kerja wanita KHEU berserta jabatan-jabatan di bawahnya, serta ahli keluarga dari kediaman masing-masing.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, yang diikuti dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih, JPI, KHEU, Dayang Siti Sara binti Haji Mahmud dari Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok.

    Setelah itu, Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), JPI, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil dari Surau SUAMPRIPAHS.

    Manakala bacaan Asmaul Husna dipimpin oleh Hajah Latifah binti Haji Libut daripada Persatuan Pertiwi Daerah Tutong, dari Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong.

    Bagi memberkati acara Malam Munajat, Pegawai Pelajaran Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Siti binti Haji Sabtu membacakan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dari Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.

    Orang ramai juga dijemput untuk menyertai Malam Munajat yang diadakan setiap hari Sabtu (malam Ahad) melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheuwanita atau https://www.facebook.com/pdi.kheu/.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...