Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Malam Munajat minggu ke-42 yang berlangsung secara maya malam tadi diadakan khas bagi warga kerja wanita di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Mufti Kerajaan (JMK) serta kumpulan Muslimah masjid-masjid.
Turut menyertai Malam Munajat Khas bagi Wanita itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi; isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee, isteri-isteri setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dan warga kerja wanita KHEU.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Setiausaha Tetap (Wawasan, Kewangan dan Kabinet) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.
Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin bersama oleh Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal) di MOFE, Hajah Norliah binti Haji Kula; Setiausaha Tetap (Ekonomi) di MOFE, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, dan Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat) di MOFE, Dayang Suraya binti Haji Jaidin dari surau MOFE.
Doa Munajat pula dibacakan oleh Pegawai Istinbat Kanan JMK, Hajah Noraini binti Haji Buntar sebelum diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Rezeki Sebenar’ yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Agama, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Dayang Noorizah binti Haji Abidin.
Seterusnya, majlis disusuli dengan bacaan Selawat Ibrahimiyyah dan Tafrijiyyah serta diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.