Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malam Munajat khas wanita ke-12

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang hakikat kematian dan menerangkan bagaimana hari kiamat akan berlaku dan ini menunjukkan bahawa dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki yang sebenarnya adalah di akhirat nanti.

    Surah itu juga memberikan khabar gembira kepada kita dengan menceritakan tentang tiga golongan utama di akhirat dan ganjaran mereka masing-masing.

    Perkara tersebut antara yang dikongsikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya, dalam Tadabbur Surah Al-Waqi’ah semasa acara Malam Munajat Khas untuk Wanita kali ke-12, kelmarin.

    “Tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dalam membangkitkan dan memberi balasan turut digambarkan dalam surah ini, menunjukkan rahmat dan keadilan Allah SWT, iaitu perhitungan yang sangat adil di akhirat dan nikmat syurga yang sangat banyak,” jelasnya.

    Acara Malam Munajat Khas untuk Wanita kali ini mengundang tetamu khas iaitu Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam (PSW), Hajah Dayang Hassanah binti Haji Awang Hassan, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Datin Hajah Nahriah semasa menyertai Malam Munajat Khas untuk Wanita kali ke-12, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Beliau menyertai dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Madang bersama ahli-ahli PSW.

    Turut mengimarahkan lagi acara malam munajat tersebut ialah tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), jemaah Muslimah Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, dan jemaah Muslimah dari 10 buah masjid lain di seluruh negara.

    Ikut sama menyertai Malam Munajat itu, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, dan warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

    Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Waqi’ah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, ITQSHHB, Dayang Faten Salwa binti Haji Ibrahim dari musolla (surau) institut berkenaan.

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Pengiran Razmahayati binti Pengiran Haji Mahmud, selaku ahli Jawatankuasa Tadbir PSW.

    Selesai tadabbur Surah Al-Waqi’ah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Dayang Nur Aizat Yatimi binti Haji Shari, juga selaku Penolong Setiausaha Kehormat II PSW.

    Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Wardah binti Haji Ibrahim.

    Malam Munajat anjuran KHEU meng-ajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah sangat dialu-alukan menyertai acara malam munajat pada setiap hari Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau laman Facebook rasmi Pusat Dakwah Islamiah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda