Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Bagi memohon perlindungan dari Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 di negara ini dapat dibendung, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah meneruskan lagi Majlis Malam Munajat, malam tadi.
Majlis berkenaan terus mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 1,000 orang yang terdiri daripada orang ramai dan warga KHEU berserta dengan keluarga masing-masing.
Pada majlis itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong memulakan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah bagi memimpin majlis.
Turut menyerikan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Awang Mohamad Hashim bin Haji Abdullah dan diteruskan dengan bacaan Doa Munajat oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis turut diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Keagungan Ayat Al-Kursi’ yang disampaikan oleh Penolong Mufti Ifta, Jabatan Mufti Kerajaan, JPM, Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah.
Tazkirah menyentuh mengenai ayat Al-Kursi yang merupakan ayat yang paling agung sekali dalam Al-Quran. Ayat Al-Kursi mengumpulkan di dalamnya tujuh perkara yang meliputi nama dan sifat yang asas bagi Allah SWT iaitu Ketuhanan Allah, Keesaan Allah, Maha Hidup Allah, Maha Berkuasa Allah, Maha Berkehendak Allah, Maha Mengetahui Allah dan Pemerintahan Allah.
Beliau menambah, siapa yang membaca ayat Al-Kursi di belakang setiap kali sembahyang fardu, nescaya tidak ada yang mencegahnya daripada masuk syurga tanpa ada yang menghalangnya kecuali kematian.
Bahkan menurut ulama, kematian merupakan wasilah atau perantaraan untuk masuk ke dalam syurga.
Beliau juga menyeru orang ramai supaya mengamalkan membaca ayat berkenaan terutama selepas sembahyang fardu lima waktu, sebelum tidur, pada waktu pagi dan petang sebagai zikir harian, sebelum keluar rumah dan sebagainya.
Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Selawat Ibrahimiyyah dipimpin oleh Belia Muallaf Asy-Syahadah, Pusat Dakwah Islamiah.
Majlis Malam Munajat mengajak warga KHEU dan orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat dan merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya, khasnya wabak COVID-19.