Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memasuki minggu ke-50 malam tadi, yang diungkayahkan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Galakan Menjadi Mukmin yang Kuat.’
Ia disertai oleh warga kerja KHEU, JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta keluarga masing-masing.
Hadir pada majlis minggu ini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Malam Munajat dimulai dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dari Masjid Ash-Shaliheen, JPM.
Seterusnya, bacaan surah Yasin beramai-ramai dipimpin bersama oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin, dan Setiausaha Tetap, Jabatan Tenaga di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya bersama pegawai dan kakitangan JPM.
Doa Munajat kemudian dibacakan oleh Pegawai Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, JPM, Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad.
Tazkirah pula disampaikan oleh Pegawai Kerja Sambilan, Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, UNISSA dan Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Hamzah bin Haji Jali dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.
Sejurus itu, Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pemangku Timbalan Pengarah, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, JPM, Haji Ibrahim bin Haji Juma’at bersama pegawai dan kakitangan JPM.
Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohamad bin Haji Bagol, dari Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam.
Majlis juga digemakan beramai-ramai oleh jemaah dari 92 buah yang meliputi masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara antaranya, Masjid Pehin Datu Imam Haji Abdul Mokti,
Kampung Burung Pingai Ayer dan Masjid Perpindahan Kampung Mata-Mata, di Daerah Brunei dan Muara, Masjid Kampung Penanjong dan Masjid Kampung Layong, di Daerah Tutong, Masjid RPN Kampung Pandan di Daerah Belait dan Surau Kampung Piasau-Piasau dan Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong.