Malam Munajat secara maya dapat sambutan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Majlis Malam Munajat yang dianjurkan secara maya oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), malam tadi, telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kementerian itu sendiri bersama keluarga masing-masing dan orang ramai.

Majlis berkenaan dihadiri secara maya oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang turut membacakan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEU, para pengarah, pegawai kanan, pegawai, pensyarah, guru dan kakitangan di bawah KHEU.Malam Munajat tersebut merupakan usaha berterusan untuk mengajak warga KHEU dan orang ramai untuk turut serta mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT, dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir dan merafakkan doa terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19.

Majlis bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom sebelum bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Doa Yasin oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Ia kemudiannya diisikan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama warga KHEU pada Majlis Malam Munajat yang dianjurkan secara maya. – Gambar serahan KHEU