Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Malam Munajat tekankan kepentingan akhlak

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – ‘Kepentingan Akhlak Mendepani COVID-19’ diketengahkan dalam tazkirah yang diadakan bagi menyerikan Majlis Malam Munajat ke-34 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung secara maya, malam tadi.

    Turut menyertai majlis minggu ini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Tazkirah telah disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Pejabat Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Saharuddin bin Haji Patra yang menjelaskan tentang keistimewaan dan kelebihan orang-orang yang mempunyai akhlak mulia yang disebut dalam hadis-hadis Rasulullah SAW. Malah antara sebab utama Rasulullah SAW diutuskan ialah untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak.

    Beliau berkata, akhlak teragung Nabi Muhammad SAW ialah Al-Quran, dalam makna, semua ajaran Al-Quran itu adalah cara hidup Baginda yang wajib dicontohi dan diikut oleh seluruh umat.

    “Dalam berdepan COVID ini, kita dapat merasakan bahawa masyarakat kita telah berakhlak yang baik antara satu sama lain, terutamanya dalam usaha bersama mematuhi SOP bagi membendung penularan jangkitan wabak tersebut, mengikuti program vaksinasi, mengemas kini pergerakan menerusi BruHealth dan sebagainya.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew serta mereka yang hadir pada majlis tersebut secara maya. – Gambar serahan KHEU

    “Ini ditambah lagi melalui pelaksanaan ibadah di sepanjang bulan Ramadan yang banyak memberikan pendidikan dan meningkatkan akhlak terpuji. Bahkan di bulan Syawal yang mulia ini juga, negara kita meraikannya dengan mengagungkan Allah SWT, menghubung silaturahim, berziarah di kalangan keluarga terdekat, saling mendoakan di samping mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

    Kepentingan akhlak mulia yang berpaksikan pada akhlak Nabi Muhammad SAW itu, tambah beliau, akan terus berkekalan dan terus dihayati dalam kalangan masyarakat, dan semoga dengan akhlak mulia ini juga kita akan mampu mengharungi COVID dengan penuh keberkatan dan pertolongan Allah SWT, serta membuatkan kita semakin taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

    Majlis Malam Munajat kali ini telah disertai oleh warga kerja serta keluarga, dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya, Brunei Darussalam Central Bank dan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

    Sebanyak 73 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga mengikuti acara berkenaan secara maya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin secara maya dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik Kilanas.

    Acara diisi dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan seterusnya bacaan Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT agar terhindar daripada bala bencana serta penyakit berbahaya.

    Selesai tazkirah, majlis diikuti dengan bacaan Zikir Taubat dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...