Sunday, April 21, 2024
25 C
Brunei

    -

    Malam Munajat tekankan soal taubat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Syarat-syarat taubat termasuk berhenti melakukan maksiat tersebut, kemudian menyesali dosa yang dilakukan lalu berazam tidak melakukan maksiat itu lagi dan jika ada dosa berkaitan dengan manusia atau hak manusia, hendaklah dikembalikan hak orang tersebut.

    “Maka apabila kita telah bertaubat dan ingin berubah, kita hendaklah menjalani kehidupan sesuai dengan ajaran nabi kita Rasulullah SAW,” jelas Imam Tingkat I di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.

    Selain itu, tambahnya, kita dianjurkan untuk sentiasa menghadiri majlis ilmu meskipun masih melakukan maksiat, kerana kalau bukan hari ini kita mendapatkan hidayah dari Allah SWT, mungkin nanti pada hari lain yang akan datang.

    “Kita juga hendaklah sentiasa berdamping dengan orang-orang yang soleh. Apabila kita mengajak orang lain menjadi soleh, dalam masa yang sama kita pun ikut berazam untuk menjadi orang yang soleh”.

    Beliau menekankan perkara itu semasa menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Taubat dan Harapan’ semasa majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang diadakan secara maya buat kali ke-27, malam tadi, di mana beliau membahaskan mengenai dosa dan taubat.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut memeriahkan Malam Munajat yang diadakan secara maya.

    Turut menyertai acara tersebut secara maya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang juga memulakan acara dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Acara kali ini turut disemarakkan dengan penglibatan warga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Di samping itu, sebanyak 62 buah masjid seluruh negara juga mengikuti Malam Munajat minggu ini secara maya.

    Majlis telah diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Munajat bagi memohon keampunan dari Allah SWT dan terhindar daripada bala bencana serta penyakit berbahaya.

    Selesai tazkirah, acara diteruskan dengan bacaan Asma’ul Husna dan selawat beramai-ramai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Malam Munajat itu bertujuan untuk mengajak orang ramai khususnya rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bersama-sama memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat, merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai, dengan harapan agar terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya, khasnya wabak COVID-19.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...