Malam Munajat terus dapat sambutan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah meneruskan lagi Majlis Malam Munajat, kelmarin, yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih 1,500 orang peserta dan penonton.

Majlis telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang telah memulakan majlis dengan memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah.

Turut menyerikan dan menyertai Malam Munajat kali ini ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; dan Penolong Mufti (Buhuth) Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusuf.

Majlis telah diisikan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai serta bacaan Doa bagi Memohon Terhindar daripada Wabak COVID-19.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Selawat Ibrahimiyyah beramai-ramai sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Acara berkenaan mengajak warga KHEU dan orang ramai untuk turut serta bersama-sama mendekatkan diri dan memohon keampunan dari Allah SWT, dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat dan merafakkan doa secara serentak beramai-ramai dengan doa dan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya khasnya wabak COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam.

Dalam suasana memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, majlis kali ini turut membawa bacaan Selawat Ibrahimiyyah bagi menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda Rasulullah.

Para peserta dan penonton terdiri daripada warga KHEU dan orang ramai berserta keluarga masing-masing melalui penyertaan secara maya menggunakan Microsoft Teams atau secara langsung menerusi Instagram Pusat Dakwah Islamiah @pdi_kheu.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menghadiri Majlis Malam Munajat berkenaan. – Gambar serahan KHEU