Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kita wajib percaya kepada hari kiamat akan tiba dan mempercayainya adalah salah satu rukun Iman di mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj, ayat 7 yang terjemahannya: Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap datang, tiada ada keraguan padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah SWT akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur (untuk dihisab).
Demikian adalah antara pengisian tazkirah sempena Program Malam Munajat yang disampaikan oleh ahli Kumpulan An-Najihun di bawah Urus Setia Program Keugamaan Belia, Mushalla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Hamzah bin Haji Jali.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), semalam, merupakan kali ke-145 dan telah mengundang ahli Persatuan Nurul Islam dan peserta Ikon Mualaf 2024, Awang Muhammad Nur Aryan bin Ahmad Nur Dahlan yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Mushalla Al-Ameen, PDI.
Turut mengimarahkan acara Malam Munajat itu ialah belia-belia Mualaf As-Syahadah; ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar serta dari 69 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh negara.
Juga hadir ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dukhan beramai-ramai dipimpin oleh ahli Jawatankuasa Bahagian Media dan Publisiti Belia Mualaf As-Syahadah, Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi.
Acara diikuti dengan Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Pusat lImu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Mohamed Noor bin Haji lbrahim yang juga dari Mushalla Al-Ameen, PDI, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Pemangku Bilal Balai lbadat Kampung Sibut, Awang Muhd Muhaimin bin Muhd Zulkifli, yang juga peserta Ikon Mualaf 2024.
Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Endy bin Haji Masri.