Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Pentas Ekspo Souq Al-Qudwah 3.0 yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Onecity, Sungai Hanching, baru-baru ini, telah diisikan dengan Persembahan Malam Puisi Islam bagi memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasulullah SAW.
Persembahan berkenaan adalah antara tujuan untuk memperkembangkan syiar Islam melalui persembahan puisi Islam dan juga menyokong aktiviti Muallafpreneur.
Hadir selaku tetamu kehormat semasa acara yang dikendalikan oleh Bahagian Kajian dan Penerbitan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama itu ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh,
Acara antara lain diisikan dengan persembahan deklamasi sajak khas oleh Awang Saifullah bin Mohd Sofian dan persembahan syair oleh Awang Muhammad Safwan bin Mohd Suffian.
Ini diikuti dengan persembahan deklamasi sajak oleh Dayang Hazey Suzainah binti Shaya dan persembahan tausyeh oleh Kumpulan Al-Musta’iddin, PDI.
Majlis diakhiri dengan Dikir Syarafil Anam beramai-ramai yang dipimpin oleh kakitangan Bahagian Kajian dan Penerbitan, PDI.