Malam Sastera Islam meriahkan Maulidur Rasul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Sempena Maulud Nabi Muhammad bagi 1442H / 2020M, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Majlis Malam Sastera Islam yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam tadi.

Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan pelancaran 10 buah buku terbitan terbaharu PDI.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran buku-buku terbitan terbaharu itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum ucapan alu-aluan daripada Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku pengerusi bersama majlis.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama kemudian menyampaikan ucapan yang antara lain berkata, acara itu sangat bertepatan dengan hasrat KHEU untuk merangsang kegiatan sastera Islam.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menerima cenderamata daripada Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh pada Majlis Malam Sastera Islam yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Mufti Kerajaan bersama jemputan lain semasa majlis itu.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin telah menjelaskan mengenai perkembangan sastera Islam dan sastera moden di negara ini bermula pemasyhuran kemerdekaan pada 31 Disember 1983.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, kali terakhir Majlis Malam Sastera Islam diadakan adalah pada 2015 yang diisikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang peraduan penulisan kreatif dan tidak kreatif, seni khat Jawi dan juga melancarkan buku-buku terbaharu terbitan PDI.

Manakala itu, majlis malam tadi juga telah diserikan dengan persembahan deklamasi sajak daripada jemputan-jemputan khas, persembahan tausyeh oleh kumpulan belia-belia masjid senegara, puisi-dera oleh penuntut-penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, persembahan Improvisasi Puisi oleh kumpulan Putra Seni Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis itu, deklamasi sajak telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di samping Zefri Ariff Brunei, Hajah Aminah binti Haji Momin dan Awang Mohd Firdaus @ Passal bin OKK Haji Noordin.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video buku-buku terbitan terbaharu PDI, disusuli dengan penyampaian cenderamata kepada penulis-penulis buku yang baru dilancarkan yang juga disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.