WASHINGTON, 18 JAN – Ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat penerbangan terbesar Amerika Syarikat (AS) memberi amaran mengenai ‘gangguan malapetaka’ kepada operasi perjalanan dan pesawat sekiranya firma-firma telekomunikasi melancarkan teknologi 5G mereka seperti yang dirancang hari ini tanpa mengehadkan teknologi berhampiran dengan lapangan terbang AS.
Verizon dan AT&T sudah menunda dua kali pelancaran perkhidmatan baharu C-Band 5G mereka disebabkan oleh amaran daripada syarikat penerbangan dan pengeluar pesawat mengenai kebimbangan sistem baharu mereka mungkin menjejaskan peralatan pesawat yang digunakan untuk menyukat ketinggian.
“Kami menulis surat ini untuk membuat permintaan segera bahawa pelancaran 5G boleh dilakukan di mana-mana kecuali dalam lingkungan dua batu dari landasan lapangan terbang seperti yang dinyatakan oleh FAA pada 19 Januari 2022,” kata ketua-ketua pegawai eksekutif kelmarin melalui surat yang didapatkan oleh AFP.
Mereka menulis surat kepada Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg dan pegawai kerajaan AS yang lain, menekankan risiko ‘bencana ekonomi’ sekiranya Verizon dan AT&T meneruskan pelancaran teknologi baharu sebelum penaiktarafan yang sepatutnya dan perubahan telah dibuat ke atas kelengkapan penerbangan.
“Perniagaan negara akan terhenti,” katanya.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan pada Ahad berkata ia telah meluluskan beberapa alat untuk beroperasi secara selamat dalam lingkungan 5G dipasang, menjelaskan ‘sekurang-kurangnya 48 daripada 88 buah lapangan terbang akan terjejas secara langsung oleh gangguan C-Band 5G’. – AFP