LILONGWE, MALAWI, 19 MEI – Malawi hari ini memusnahkan hampir 17,000 dos vaksin AstraZeneca (AZ) yang telah luput tarikhnya pada pertengahan April, dengan menteri kesihatan menyalahkan ‘propaganda’ atas keengganan penduduk Malawi untuk menerima suntikan tersebut.
“Kumpulan vaksin yang telah tamat tempohnya telah dikeluarkan daripada sistem kami dan telah dimusnahkan,” kata Menteri Kesihatan, Kumbize Kandodo di Hospital Kumuzu, ibu negara Lilongwe.
Negara Afrika selatan itu setakat ini telah menerima tiga kumpulan vaksin AstraZeneca – 300,000 dos di bawah program perkongsian vaksin COVAX, 50,000 dari India dan 102,000 dari Kesatuan Afrika.
Kandodo berkata kumpulan vaksin Kesatuan Afrika mempunyai ‘hayat simpanan dua minggu, dan malangnya dalam dua minggu berkenaan, kami gagal menyerap segala-galanya, kebanyakannya disebabkan propaganda ke atas vaksin AstraZeneca.’
Austria pada minggu ini menjadi negara Eropah ketiga yang menggugurkan AstraZeneca, selepas Norway dan Denmark mengeluarkan vaksin itu disebabkan kes pembekuan darah teruk dalam individu yang menerima suntikan tersebut.
Kandodo berkata hari ini: “Kami cuba memberi jaminan kepada penduduk Malawi tetapi berakhir dengan 16,910 dos AstraZeneca yang tidak selamat, dan dibakar di sebuah hospital.
“Kami tidak mahu kehilangan sebarang vaksin kerana kami mempunyai ramai orang untuk divaksinkan tetapi kami terpaksa membuang semua vaksin yang luput tempohnya daripada sistem,” kata Kandodo. – AFP
