Malaysia Airlines akan bawa lebih 10 juta topeng muka, ventilator dari China

KUALA LUMPUR, 30 MAC – MABkargo, cabang kargo Malaysia Airlines, akan membawa lebih 10 juta topeng muka dan ventilator dari Shanghai dan Guangzhou, China, dalam tempoh beberapa hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata ia direalisasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Kementerian Pengangkutan dan Pharmaniaga Bhd.

“Bersama dengan syarikat penerbangan sekutu kami di bawah Kumpulan Penerbangan Malaysia, kami membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyediakan ruang kargo yang khusus dalam rangkaian domestik dan antarabangsa kami serta dalam rangkaian pesawat kargo global MABkargo untuk pengangkutan peralatan dan bekalan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, Malaysia Airlines telah mengurangkan kekerapan dan jadual domestiknya.

Katanya ia beroperasi pada tahap minimum, kebanyakannya untuk memudahkan perjalanan penting dan pergerakan kargo.– Bernama