KUALA LUMPUR, 2 OKT – Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah membentuk satu kerjasama dengan rakan kongsinya dalam perikatan Oneworld, British Airways bagi menawarkan satu hentian sambungan udara yang lancar antara Kuala Lumpur dengan beberapa bandar utama di United Kingdom (UK).
Semua perkhidmatan perkongsian kod akan dipasarkan sebagai penerbangan Malaysia Airlines, ini akan memudahkan urusan tiket apabila ia disatukan ke dalam satu dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan nasional berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan, perkongsian kod itu akan memberikan peluang bagi mengembangkan rangkaian MAB di UK dan Eropah tanpa perlu memulakan perkhidmatan pesawatnya sendiri ke pelbagai bandar di rantau itu.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat menempah tempat duduk di penerbangan British Airways dari Heathrow untuk ke Aberdeen, Belfast, Edinburgh, Glasgow, Manchester dan Newcastle mulai 2 Oktober 2019 bagi perjalanan dari 9 Okt 2019.
Penumpang British Airways pula akan dapat menempah penerbangan Malaysia Airlines untuk ke 14 destinasi termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Bintulu (Sarawak) serta sembilan bandar lain di Australia, Kemboja, Indonesia, New Zealand dan Vietnam. – Bernama


































