Malaysia akan laksana vaksinasi dos ketiga

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, beliau berkata turut diberikan keutamaan adalah warga tua dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin pada sidang media selepas lawatan kerjanya di Alor Setar, Kedah, menjelaskan pemberian vaksin COVID-19 dos ketiga adalah untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti COVID-19 dijangka bermula pada Oktober ini.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

“Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.

“Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun,” katanya.

Beliau berkata banyak negara sudah memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem imun individu terhadap wabak itu.– Bernama