Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Malaysia akan mula guna ubat antivirus

    PUTRAJAYA, 7 FEB – Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses memantapkan Kaedah Penjagaan Klinikal pesakit COVID-19 bagi tujuan memulakan ubat antivirus terkini yang akan diberikan kepada pesakit wabak itu yang berisiko tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Katanya ia akan diberikan kepada pesakit COVID-19 pada peringkat awal iaitu semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

    Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Khairy berkata rawatan antivirus ini akan meliputi pesakit di klinik kesihatan, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad.

    “Rawatan akan dimulakan setelah bekalan ubat antivirus tersebut tersedia,” katanya menambah KKM kini dalam proses memuktamadkan pembelian ubat antivirus berkenaan.

    Mengenai pemberian dos penggalak, Khairy berkata sehingga kini terdapat lebih kurang 32 peratus atau sejuta warga emas masih belum mengambil dos penggalak.

    “Risiko jangkitan COVID-19 yang teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari, sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas,” katanya.

    Menurut Khairy, data harian juga menunjukkan individu yang belum divaksin adalah sembilan kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat COVID-19 berbanding individu yang telah lengkap divaksin atau telah mengambil dos penggalak. 

    Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan kes COVID-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, meskipun negara kini berdepan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

    “Ini sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi.

    “Atas langkah proaktif KKM, kita berjaya ‘memperlahankan’ ketibaan varian Omicron. Kawalan sempadan seperti penangguhan umrah (sebelum ini) merupakan langkah memperlahankan gelombang Omicron,” katanya.

    Semalam, Malaysia telah melaporkan kes baharu COVID-19 sebanyak 10,089 kes, dan hari ini sebanyak 11,034 kes. – Bernama

    Gambar fail ubat antivirus dihasilkan dalam makmal Pfizer. Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa KKM dalam proses memantapkan Kaedah Penjagaan Klinikal pesakit COVID-19 bagi tujuan memulakan ubat antivirus terkini yang akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...