Malaysia akan mula vaksinasi remaja 12 hingga 17 tahun

KUALA LUMPUR, 13 OGOS – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memulakan proses vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kata Menteri Penyelarasnya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata PICK akan memulakan vaksinasi mengikut keutamaan iaitu remaja (12 hingga 17 tahun) yang mempunyai masalah penyakit kronik, diikuti individu remaja (12 hingga 17 tahun) tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Khairy berkata kaedah ini dilaksanakan mengikut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Pengumuman akan dibuat minggu depan oleh @JKJAV tentang bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan,” kata Khairy menerusi Twitter. – Bernama