Malaysia akan perluas program vaksin AZ sukarela

PUTRAJAYA, 3 MEI – Program pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) COVID-19 secara sukarela akan diperluaskan setelah kesemua semua 268,000 slot temu janji telah dipenuhi hanya dalam tempoh tiga jam, semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata di bawah pelaksanaan program vaksinasi kedua vaksin berkenaan kelak, kerajaan akan menangani masalah individu yang tidak mempunyai akses Internet dan bekalan penga-gihan vaksin.

“Demi perancangan masa depan program AstraZeneca (sukarela)… Kami akan menghubungi klinik komuniti supaya kami dapat (terus) menawarkan (vaksin) secara sukarela,” katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini.

Menurut Khairy, Malaysia akan mempunyai bekalan vaksin AZ yang mencukupi apabila sebanyak 1.1 juta dos vaksin dijadualkan tiba dari kemudahan COVAX pada Mei ini dan pada Jun sebanyak 610,000 dos akan diperoleh dari syarikat farmaseutikal AstraZeneca sendiri.

Pada Julai sebanyak 410, 000 dos akan diterima manakala sebanyak 1.2 juta dos akan tiba pada Ogos dan September, nanti.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memutuskan jarak masa untuk AZ esok berdasarkan keberkesanan, logistik dan peningkatan kes.

Diminta mengulas mengenai keputusan Sarawak untuk tidak menerima vaksin AZ ke negeri itu, Khairy berkata beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut setelah melihat sambutan menggalakkan dan keyakinan orang ramai terhadap vaksin tersebut.

“Semalam, kita tengok keyakinan (orang ramai) terhadap AZ sangat baik sekali. Terpulang kepada kerajaan Sarawak, sekiranya mereka buat keputusan untuk terima AZ selepas berasa yakin, saya terbuka untuk buka (permohonan) di Sarawak,” katanya. – Bernama

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, kelmarin. – Bernama