Malaysia akan sertai sidang maya AEM, AEM+3

KUALA LUMPUR, 3 JUN – Malaysia akan menyertai persidangan maya Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Khas mengenai Respons COVID-19 serta persidangan maya Menteri-menteri Ekonomi ASEAN+3 Khas (AEM+3) yang kedua-duanya akan dihoskan oleh Vietnam esok.

Mesyuarat itu akan menumpukan kepada tindakan dan respons bersama dalam memerangi pandemik COVID-19 serta langkah-langkah yang diambil bagi meringankan impaknya ke atas ekonomi.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia akan berkongsi pengalaman dan kejayaannya menggunakan pendekatan bersasar dalam melandaikan lengkungan COVID-19.

Beliau berkata negara juga akan berkongsi pengalamannya menurunkan kadar kebolehjangkitan di samping pendekatan menyeimbangkan antara melindungi nyawa dan mata pencarian.

“Kita juga akan berkongsi pandangan mengenai cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan pelbagai perintah kawalan pergerakan serta langkah-langkah kita untuk merancakkan semula ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, persidangan itu akan membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh negara-negara anggota berkaitan inisiatif penyelidikan dan pembangunan bagi mencari vaksin COVID-19. – Bernama