Malaysia akan tetap buru Jho Low

PUTRAJAYA, 10 Jan – Kerajaan Malaysia akan tetap meneruskan usaha mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low walaupun sukar, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat hanya kira-kira tujuh bilion penduduk (dunia) jadi, tidaklah sukar sangat.

“Kita boleh cari dia, walaupun sukar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Jho Low, yang dikenal pasti oleh penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai watak utama dalam skandal berbilion dolar 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipercayai melarikan diri daripada ditahan di Hong Kong ke pulau berdekatan dengan Macau.

Sebuah portal dalam talian melaporkan semalam bahawa Jho Low menafikan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa beliau turut memainkan peranan dalam rundingan dengan China untuk membayar balik hutang 1MDB pada 2016 sebagai tukaran kepada pemberian kontrak-kontrak mewah.

Jho Low, dalam satu kenyataan melalui jurucakapnya yang dikeluarkan menerusi peguam-peguamnya mendakwa artikel berkenaan sebagai ‘separuh benar’ dan menuduh pentadbiran Dr Mahathir bertanggungjawab dalam perkara itu.

Ditanya mengenai dakwaan Jho Low kononnya tuduhan-tuduhan itu bermotifkan politik, Dr Mahathir berkata ahli perniagaan yang sedang melarikan diri itu sudah banyak kali bercakap seperti itu sebelum ini.

“Dia yang curi duit bermotifkan politik,” kata Dr Mahathir.

Mengenai laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mendapatkan dokumen-dokumen yang disebut dalam laporan itu sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Kita perlu cari dokumen-dokumen itu dulu dan menggunakan dokumen-dokumen berkenaan sebagai bukti bahawa ia benar-benar berlaku. Pada masa ini ia hanya sebuah berita dalam akhbar,” kata beliau. – Bernama