Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia, Australia tingkat kerjasama

    BUTTERWORTH, 25 Jun – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Pertahanan Australia Marise Payne hari ini mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Australia mengenai Kerjasama Pertahanan (HLC) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.

    Mesyuarat tertutup yang julung kali diadakan itu berlangsung kira-kira satu jam.

    Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh HLC Malaysia-Australia, kedua-dua menteri diberi taklimat mengenai perkembangan terkini kemajuan kerjasama di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia yang menekankan tentang pentingnya bekerjasama untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala dan memenuhi cabaran persekitaran keselamatan yang pesat berkembang.

    Mereka juga mengulangi komitmen untuk bekerjasama, secara dua hala dan pelbagai hala, demi meningkatkan kerjasama pertahanan bagi mengekang keganasan dan mengenal pasti cara-cara untuk memantapkan kerjasama memerangi keganasan.

    “Kedua-dua menteri pertahanan juga bersetuju bahawa ancaman keganasan merupakan kebimbangan utama serantau bagi kedua-dua negara terutama dengan kembalinya pengganas asing dari konflik luar negara.

    Mohamad Sabu (kiri) dan Senator Marise Payne bertukar cenderahati selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bersama ‘Malaysia-Australia High Level Committee on Defence Cooperation (HLC)’ di Pangkalan Udara Butterworth, kelmarin. – Bernama

    “Mohamad dan rakan sejawatannya dari Australia terang-terang mengutuk keganasan dalam segala bentuk dan manifestasi dan melahirkan ucapan takziah kepada mangsa keganasan di seluruh rantau itu,” kata kenyataan tersebut.

    Menurut kenyataan itu, kedua-dua mereka juga menegaskan komitmen kedua-dua negara kepada Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) sebagai komponen penting dalam peraturan keselamatan rantau itu.

    Mohamad dan Payne menyatakan bahawa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FPDA ke-10 bersetuju untuk terus mengukuhkan aktiviti mengekang keganasan dan meningkatkan nilai operasi latihan termasuk memasukkan keupayaan baharu demi kepentingan bersama semua negara anggota.

    Mesyuarat tersebut berlangsung semasa sambutan ulang tahun ke-60 kehadiran tentera Australia di Pangkalan TUDM Butterworh.

    Sementara itu, selepas mesyuarat, Mohamad dan Payne menanam pokok di perkarangan Wisma Perwira Pangkalan TUDM Butterworth sempena sambutan ulang tahun itu.

    Payne kemudian dibawa melawat ke Ibu Pejabat Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu (HQIADS) dan Skuadron ke-18 TUDM serta sesi bergambar dengan anggota. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda