PUTRAJAYA, 19 DIS – Malaysia dan Bangladesh hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja Bangladesh untuk berkhidmat di negara itu, berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.
MoU itu ditandatangani Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed di ibu negara.
Saravanan berkata MoU tersebut menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuklah berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.
“MoU ini adalah susulan daripada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri agar ia dimuktamadkan segera kerana memorandum MoU terdahulu telah tamat tempoh pada 17 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan susulan pemeteraian memorandum itu.
Beliau berkata pelaksanaan MoU itu akan dikawal selia oleh satu Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang dianggotai oleh kedua-dua negara.
Saravanan berkata sehingga 30 November lepas, sejumlah 326,669 rakyat Bangladesh bekerja di Malaysia dengan jumlah majoriti di sektor perkilangan (111,694 orang) dan sektor pembinaan (136,897 orang).
“Pemeteraian MoU ini dijangka dapat menampung keperluan mendesak untuk guna tenaga asing termasuk di sektor perladangan yang telah pun diluluskan oleh Jemaah Menteri sebanyak 32,000 orang secara pengecualian khas. – Bernama