Malaysia bantu WHO dapatkan data tiga ubat rawat COVID-19

PUTRAJAYA, 13 OGOS – Malaysia akan menjalankan penyelidikan terhadap tiga jenis ubat merawat pesakit COVID-19, susulan ujian antarabangsa besar-besaran yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemilihan Malaysia dalam ujian itu diharap dapat membantu WHO, mendapatkan data-data mengenai keberkesanan tiga ubat tersebut iaitu artesunate, imatinib dan infliximab.

“Kita harap dapat membantu WHO untuk mendapatkan data-data dan kita ada pesakit yang cukup untuk kita jalankan kajian tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ubat artesunate digunakan bagi rawatan penyakit malaria yang teruk, imatinib pula adalah untuk kanser darah atau leukemia, manakala infliximab bagi merawat penyakit sistem imun seperti Crohn dan rheumatoid arthritis.

“Ketiga-tiga ubat ini ada kesan anti viral. Kita nak kaji lihat keberkesanan ubat ini untuk digunakan merawat pesakit COVID-19,” katanya. – Bernama