Malaysia belum serah notis

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Malaysia masih belum menyerahkan notis atau makluman penuh kepada Singapura berhubung keputusannya bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Merujuk kepada kerajaan Singapura, kita masih belum menyerahkan sebarang notis penuh (kepada mereka). Namun mereka sedia maklum apa yang kita mahu lakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, semalam bahawa Singapura masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek mega berkenaan.

Republik berkenaan pada 1 Jun lepas, telah meminta Kerajaan Malaysia, menerusi saluran diplomatik untuk mengesahkan pendiriannya terhadap projek tersebut.

Dr Mahathir yang menyambut ulang tahunnya yang ke-93 hari ini, menjelaskan kerajaan juga perlu berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan bagi mengelak reaksi negatif pasaran.

“Satu-satu keputusan itu bukannya mudah untuk diambil. Apabila kita membuat keputusan dan mengumumkannya, pasaran memberi reaksi negatif. Mereka (pelabur) lebih suka dimaklumkan dengan pembohongan bahawa semua berkeadaan baik supaya mereka dapat memberi penilaian yang bagus terhadap anda.

“Namun, apabila anda memaklumkan pendedahan atau penemuan kita membabitkan salah laku atau penyelewengan, mereka memberi reaksi dengan keluar (daripada pasaran) bersama wang serta menghentikan pelaburan,” katanya.

Malah, tegas Dr Mahathir, apa yang diusahakan kerajaan adalah semata-mata untuk memastikan aspek kewangan negara ini diuruskan dengan betul.

Dalam pada itu, Khaw dilaporkan berkata tindakan Singapura adalah berdasarkan perjanjian dua hala HSR yang dimeterai pada Disember 2016 dan republik itu juga telah menanggung kos yang lebih banyak.

Pada bulan lepas, Singapura menanggung lebih daripada S$6 juta (S$1=RM2.96) bagi projek tersebut dan beliau menjangkakan jumlah sama akan turut ditanggung pada bulan ini.

“Kos yang ditanggung itu akan hanya menambah kepada jumlah pampasan (yang perlu dibayar). Oleh itu, adalah menjadi kepentingan di pihak Malaysia sendiri untuk memaklumkan secara rasmi dan seawal mungkin kepada kita berhubung pendiriannya terhadap projek HSR bagi meminimumkan jumlah tersebut,” katanya.

Berdasarkan anggaran awal, republik itu telah membelanjakan lebih S$250 juta terhadap projek itu. – Bernama